seputih salju

ANAK merupakan anugerah Allah S.W.T yang tidak ternilai harganya. Namun krisis sosial yang semakin kronik telah menyaksikan banyak kes pembuangan bayi berlaku dalam ruang lingkup masyarakat Malaysia.

Malah apa yang lebih menyedihkan, bayi bukan sahaja diperlakukan seperti sampah tetapi juga menjadi barang dagangan untuk pihak-pihak tertentu meraih keuntungan melalui penjualan bayi.

Kehidupan generasi pada hari ini yang terlalu bertunjangkan keseronokan duniawi telah mengheret mereka ke kancah pergaulan bebas tanpa batasan agama.

Akibat terlalu ghairah mengejar kenikmatan hidup, ada di kalangan masyarakat di luar sana yang alpa lalu terjebak dengan perbuatan zina sehingga mengandungkan anak luar nikah.

Terperangkap dengan jerat yang dicipta sendiri, pesalah-pesalah ini mengambil jalan mudah sama ada membuang bayi yang dilahirkan atau menggugurkan kandungan mereka.

Selain pembuangan bayi, fenomena terbaru yang melanda negara ini ialah kes penjualan bayi di mana seorang doktor perubatan dan seorang pegawai penjawat awam dikatakan telah menjadi dalang kepada jenayah itu.

Ketua Wanita Pusat Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Profesor Madya Dr. Harlina Halizah Siraj berkata, pihaknya melahirkan rasa dukacita dan kecewa terhadap peningkatan bilangan kes pembuangan bayi sejak akhir-akhir ini.

Katanya, beliau difahamkan, berdasarkan statistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mendapati jumlah kes buang bayi antara tahun 2000 hingga 2006 adalah seramai 580 bayi.

“Bilangan kes ini meningkat saban tahun di mana sebanyak 65 kes buang bayi dicatatkan pada tahun 2000 dan ia meningkat kepada 83 kes pada tahun 2006.

“Daripada jumlah kes itu, 79 membabitkan kes pembuangan bayi yang baru dilahirkan dan empat kes pembuangan janin,’’ katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurutnya, dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini sahaja, hampir saban hari terdapat laporan mengenai kes buang bayi sama ada yang masih hidup ataupun tidak bernyawa.

Selain kes buang bayi, beliau berkata, masyarakat negara ini turut dikejutkan dengan sindiket jual beli bayi yang dikatakan beroperasi di Johor.

Jelasnya, pendedahan mengenai sindiket tersebut memberikan gambaran betapa rendahnya nilai nyawa dan kehidupan manusia sekarang ini.

Mengulas mengenai punca kes-kes seumpama itu berlaku, Dr. Harlina memberitahu, biasanya bayi-bayi yang dibuang ataupun dijual lahir daripada kehamilan yang tidak dirancang dan dikehendaki.

Tambah beliau, antara punca utama kehamilan yang tidak dikehendaki dalam masyarakat adalah terhasil daripada hubungan zina.

“Kesempitan hidup wanita yang hamil tanpa nikah ini biasanya dihantui perasaan takut dan malu serta kemungkinan disisihkan oleh keluarga dan kawan-kawan,’’ ujarnya.

Ekoran daripada kesusahan hidup yang terpaksa dilalui, menurut Dr. Harlina, terdapat sindiket yang mengambil kesempatan untuk memperdagangkan bayi-bayi itu dengan tujuan bagi mendapatkan pulangan keuntungan yang lumayan.

“Pembabitan kumpulan profesional seperti doktor perubatan dan juga penjawat awam dalam sindiket ini menunjukkan betapa wang ringgit mampu mengelabui mata manusia sehingga sanggup melanggar etika profesion mereka,’’ katanya lagi.

Beliau berkata, langkah yang lebih berkesan perlu diambil oleh semua pihak untuk membendung gejala sosial itu agar tidak ada kelahiran anak-anak yang terbiar dan tidak mendapat kasih sayang yang sewajarnya.

Jelasnya, usaha pencegahan perlu bermula dari dalam diri anak-anak remaja agar mereka mampu bertindak bijak menjauhi zina selain bimbingan agama diterapkan untuk dijadikan sebagai perisai diri.

Selain itu, anak-anak remaja yang hamil luar nikah mesti dibantu bagi menjalani pemulihan yang bukan sahaja menyediakan bantuan menjaga ketika mereka hamil tetapi yang paling utama ialah membina kekuatan dalaman serta rohaniah, ujar beliau.

“Sistem sokongan sebegini tidak harus dianggap sebagai faktor penggalak kepada berleluasanya budaya seks rambang,’’ katanya.

Beliau turut mengingatkan kepada semua pihak agar turut memberi penekanan kepada bimbingan terhadap kaum lelaki dalam usaha mendidik golongan tersebut untuk tidak mengambil kesempatan terhadap wanita.(DIPETIK UTUSAN ONLINE, OLEH AIZAWATI AHMAD & ROSLAN OTHMAN)

0 Responses

Post a Comment